[BM] Titah DYTM Raja Nazrin Shah sempena Majlis Hari Penghargaan MCKK Tahun 2006

0
2503

TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA RAJA MUDA PERAK DARUL RIDZUAN RAJA NAZRIN SHAH IBNI SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH SEMPENA MAJLIS HARI PENGHARGAAN TAHUN 2006 THE MALAY COLLEGE KUALA KANGSAR

29 JULAI 2006 (SABTU), 9.30 PAGI
DI THE MALAY COLLEGE KUALA KANGSAR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam Sejahtera
Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam yang menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda seterusnya kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta dapat berangkat ke Majlis Hari Penghargaan Tahun 2006, The Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

3. Kenyataan-kenyataan dasar pemimpin negara begitu sekali menekankan kepentingan program pembangunan modal insan; dengan hasrat untuk modal insan di negara ini dapat diperkaya dengan pengetahuan dan diperlengkap dengan pendedahan agar bersedia bersaing di dunia global. Wawasan tersebut amatlah bertepatan dan perlu segera direalisasikan. Jika tidak, segala kenyataan dasar akan tergantung dalam bentuk retorik; lalu berlaku jurang antara yang dihasratkan dengan yang dilaksanakan, antara impian dengan pencapaian.

4. Pembangunan modal insan di era teknologi maklumat dan di era ekonomi berpaksikan pengetahuan ini perlu direncanakan selaras dengan dinamik yang sedang berlaku dari segi perkembangan teknologi, sains, sistem komunikasi dan penyebaran maklumat. Dunia ilmu berkembang pesat. Setiap hari terdapat penemuan baru, formula baru, cara baru dan pendekatan baru. Buku yang baru diterbitkan boleh dianggap usang dalam tempoh kurang dari satu tahun. Apa yang disifatkan kontemporari begitu cepat menjadi sejarah. Demikian fasa perkembangan ilmu dan fasa penemuan pengetahuan yang sedang berlaku di serata dunia.

5. Dalam menghadapi dinamik sedemikian, institusi pendidikan yang berperanan utama untuk membangunkan modal insan perlu bersifat proaktif melakukan penerokaan baru – merentas perbatasan baru. Kurikulum dan kokurikulum di institusi pendidikan perlu dikemaskinikan secara berterusan. Tenaga pengajar dan pembimbing pula perlu memperlengkapkan pengetahuan selaras dengan dinamik yang sedang berlaku. Kandungan pengetahuan dan kaedah menyebarkan pengetahuan yang dialami oleh tenaga pengajar di era mereka di bangku sekolah dan ketika mereka di alam universiti, mungkin kurang lagi sesuai untuk dijadikan model dalam usaha membangunkan insan di era ledakan teknologi maklumat dan pengetahuan pada hari ini.

6. Ada perkara yang dapat dijadikan contoh teladan dari perbincangan yang diadakan dengan Ahli-ahli Lembaga dan Pengarah Vajiravudh College ketika kunjungan Beta ke Kolej tersebut pada 15hb. Julai lalu. Beta merumuskan, Vajirawudh College amat bersungguh di peringkat perancangan begitu juga di peringkat perlaksanaan untuk mencapai taraf keterbilangan. Kemudahan fizikal yang terus dibangunkan adalah ke arah menyediakan prasarana untuk melahirkan pelajar terbilang. Kegiatan kokurikulum begitu pelbagai, merangkumi kegiatan sukan, seni, budaya dan kemahiran. Program anak angkat dirangkaikan dengan negara-negara Amerika, Australia dan New Zealand demikian juga dengan sistem penempatan pelajar untuk tempoh satu tahun di negara-negara berkaitan, melengkapkan usaha untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris disamping dapat memberikan pendedahan kepada realiti dunia luar. Walaupun kurikulum pengajaran di Kolej tersebut tertakluk dengan sukatan pelajaran nasional, namun Vajirawudh College memiliki autonomi menentukan buku teks, bahan rujukan, kaedah pengajaran dan latihan amali; malah turut menerbitkan buku-buku mereka sendiri. Anak-anak pelajar di peringkat remaja lagi telah diperkenalkan dengan pengajian pemikiran strategik dan digalakkan melakukan inovasi.

7. Program pembangunan modal insan di Vajirawudh College memperlihatkan daya usaha, dinamik, keberanian dan keusahawanan melalui amalan fleksibel, terbuka lagi kreatif yang diamalkan oleh kakitangan pengurusan dan kakitangan akademiknya. Sebenarnya usaha-usaha yang dirintis bukanlah eksklusif untuk boleh dilaksanakan oleh Vajirawudh College semata-mata. Keistimewaan yang mereka miliki adalah autonomi yang membebaskan mereka dari karenah birokrasi kawalan pusat. Beta percaya The Malay College Kuala Kangsar, jika diberikan keistimewaan dan fleksibiliti, turut berupaya melakukan usaha yang sama. Hasrat mencapai tahap terbilang perlu disusuli dengan usaha – dengan komitmen; dengan memberikan kepercayaan dan meletakkan tanggung jawab kepada mereka yang sama-sama memahami dan menghayati wawasan; tanggung jawab yang dilaksanakan di kalangan mereka yang juga terbilang dan senantiasa mahu mengutamakan kecemerlangan; di kalangan mereka yang tidak mudah merasa puas dan terlalu cepat menerima kekalahan.

8. Atas hasrat demikianlah, pada tahun lalu, di Majlis yang sama, Beta telah menzahirkan pandangan akan betapa pentingnya program pendidikan di Malay College dilaksanakan dengan kaedah dan pendekatan baru, kaedah dan pendekatan yang lebih kontemporari. Betapa perlu MCKK diberikan peluang menjadi penggerak, membawa negara dan warga melakukan anjakan dan pengubahsuaian, agar lebih seiring dengan perkembangan dunia global, supaya sumber insan yang dibangunkan, lebih bersedia menghadapi cabaran di abad ke dua puluh satu.

9. Di Majlis yang sama pada tahun lalu, atas nama Pengerusi Lembaga Pengelola MCKK, Beta menawarkan kepada negara akan kesediaan MCKK mengambil tanggung jawab membangunkan modal insan secara strategik untuk membantu merealisasikan hasrat dan impian negara mencapai taraf negara maju. Susulan dari itu, atas nama Pengerusi Lembaga Pengelola, Beta telah mengutus warkah kepada Menteri Pelajaran menzahirkan hasrat tersebut, antaranya meminta untuk diperkenalkan kurikulum pendidikan antarabangsa seperti ‘International Baccalaureate’ di MCKK.

10. Pada tahun ini, atas nama dan bagi pihak Lembaga Pengelola serta warga MCKK, termasuk murid-murid tua, Beta mengulangi hasrat yang sama dan menzahirkan kesediaan secara kolektif warga MCKK untuk mengambil tanggung jawab tersebut. Anjakan pendekatan ini begitu kritikal dan penting jika MCKK mahu terus berada di persada utama dan jika MCKK mahu terus dihormati sebagai institusi pendidikan bertaraf perdana. Bersamalah diusahakan semoga hasrat dan aspirasi warga MCKK mendapat sokongan dan persetujuan Kementerian Pelajaran.

11. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada para pelajar yang telah mencapai tahap yang melayakkan mereka menerima penganugerahan pada pagi ini. Bersyukurlah atas kejayaan ini dan perlihatkanlah sifat bersyukur itu dengan memberikan penghargaan dan terima kasih sewajarnya kepada mereka yang telah banyak berjasa membantu kejayaan saudara-saudara, terutama sekali ibu-bapa dan para guru. Jadikanlah amalan harian ibu bapa untuk mendoakan kejayaan anak-anak. Kejayaan para pelajar turut mencerminkan usaha gigih dan komitmen para guru dalam membimbing dan mencurahkan ilmu. Semoga setiap usaha dan pengorbanan mendapat ganjaran dunia – ganjaran akhirat.

Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here