[BM] Kenapa MCKK diiktiraf sebagai Warisan Bangsa dan Negara

1
3763

Sejarahnya bermula apabila sebuah sekolah dengan bangunan sementara yang diwujudkan di Kuala Kangsar sebagai eksperimen untuk memperkenalkan pendidikan Inggeris khasnya kepada anak-anak bangsawan Melayu. Gagasan baginya dimajukan oleh FMS Inspector of Schools kepada Resident-General FMS dengan sokongan Raja-raja terutamanya dengan gesaan kuat Sultan Idris Mursyidul A’dzam Shah dari Perak.

FMS adalah singkatan bagi Federated Malay States atawa dikenali juga rangkaikata jawinya sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang terdiri daripada Negeri-negeri yang diperintah British melalui Raja-raja Melayu iaitu Perak (1874), Selangor, Sembilan (apabila Luak Sungai Ujong beragabung berperingkat-peringkat dengan Luak-luak kecil berjiranan dengannya pada 1889 & 1895) dan Pahang (1888).

FMS digabungkan sebagai mengatasi masalah kedudukan kewangan yang berbeda-beda di kalangan empat Negeri yang berkenaan dan atas usul Residen-residen British serta Colonial Office di London, Negeri-negeri tersebut menjadi satu gabungan sekemakmuran (commonwealth) atawa persekutuan pertama dalam sejarah Malaya/Malaysia. Namun ada lagi satu kelompokan wilayah iaitu Pulau Pinang termasuk Seberang Perai (dari 1800) dan Pangkor (1874-1937), Melaka (1824), Singapura (1819), Labuan yang diperintah secara langsung oleh pihak British tetapi bukan sebagai ‘persekutuan’.

Wilayah yang dikelompokkan itu dikenali sebagai The Straits Settlements (SS) atawa dalam rangkaikata jawinya Negeri-negeri Selat. Selain itu, British juga menaungi secara langsung maupun tak langsung iaitu sebagai kawasan lingkungan pengaruhnya beberapa Negeri lain yang tidak bergabung iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis (kelima-limanya dikenali sebagai The Unfederated Malay States iaitu UFMS singkatannya) serta di Borneo, Sabah, Sarawak dan Brunei.

Naungan demikian tak semestinya secara rasmi. Sebagai contoh Johor tersangat dipengaruhi British yang menakluki Singapura setelah mereka berjaya memisahkan Kesultanan Riau-Lingga-Johor dan mendapatkan Singapura daripada Sultan Hussein dan seterusnya menaubatkan Tengku Temenggung Seri Maharaja sebagai Maharaja/ Sultan yang tersendiri bagi Johor.

Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis disebut sebagai bernaung atawa berkarib dengan Raja Siam. Namun, jika diperhatikan tiada apapun yang terupaya dilakukan oleh pihak Siam tanpa restu daripada pihak British. Malahan, pihak Raja Siam sendiri menempatkan penasihat dan pegawai British di Negeri-negeri tersebut hatta sebelum 1909 apabila naungan Siam digantikan oleh British melalui Perjanjian iaitu The Anglo-Siamese Treaty.

Demikianlah keadaan dan corak pemerintahan yang wujud pada 1896 apabila FMS tertubuh. Beberapa sekolah Inggeris sudah pun wujud di Pulau Pinang seperti Penang Free School (PFS 1816), Perak seperti The Central English School yang dinamakan semula sebagai The King Edward VII School (1883) dan Melaka seperti Malacca Free School (MFS-1826) yang ditubuh oleh muballigh Kristian dan kemudian diambil-alih oleh Kerajaan dan dinamakan semula sebagai The Malacca High School (1878), Selangor seperti The Kelang High School dan Singapura seperti The Raffles School kemudian dinamakan semula sebagai Raffles Institution (1823). Namun sekolah-sekolah itu kebanyakannya tertubuh atas daya-utama muballigh Kristian.

Jika bukan secara rasmi diuruskan oleh pihak muballigh Kristian juga seperti contohnya PFS dan MFS pun, guru besarnya masih merupakan paderi-paderi Kristian. Demikian keadaan yang berlaku dalam aspek pendidikan Barat di Negara kita ini pada 1896. Oleh kerana kaitan rapat antara pengurus sekolah-sekolah Inggeris dan juga kewujudannya di kawasan bandar/pekan yang berjauhan daripada penempatan orang Melayu, maka tidak ramai ibubapa Melayu ingin menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah yang disyaki akan menggoncang iman lantas menggugat keislaman orang Melayu.

Tidak syak lagi bahawa pembantu dan penunjang pemerintahan British di Straits Settlements adalah orang bukan Melayu, khasnya orang yang dibawa masuk dari Ceylon kawasan Jaffna, India, Serani tempatan dan seumpamanya. Tiada masalah besar bagi SS, sebab di sana pemerintahannya adalah secara langsung oleh British dan kependudukan Pulau Pinang Singapura khasnya adalah terdiri dari golongan non-peribumi sebagai majority.

Malahan di Negeri-negeri Melayu pun sudah dimasukkan bala tentera dan polis dari India seperti Kedah Police, Perak State Guides terdiri daripada orang Sikh dari Punjab India. Negeri Perak dan Selangor yang lebih kaya sudahpun dibanjiri boroh dari luar khasnya Cina melalui Pulau Pinang dan lain-lain kaum bukan-Melayu.

Umpamanya Captain Speedy yang digajikan oleh Orang Kaya Menteri Paduka Tuan iaitu dikenali sebagai Menteri Larut membawa masuk sepahi-sepahi dari India bagi menjaga ketenteraman di kawasannya. Namun FMS dan UFMS, Raja-rajanya adalah Melayu. Jelatanya yang terbanyak adalah peribumi sedangkan pemerintahan taklangsung (indirect rule) oleh pihak British menghendaki ramai pembantu pegawai seperti kerani dan penyukat tanah dan seumpamanya. Penyelesaian secara yang dibuat oleh British di SS tidak sesuai bagi FMS dan juga UFMS. Persetiaan yang membenarkan penguasaan oleh pihak British adalah dibuat dengan Raja-raja Melayu bagi FMS khasnya dan dengan sertaan Siam bagi UFMS selain Johor.

Maka sepertimana lazim dilakukan di berbagai jajahan takluknya, pihak British mendesak dan menganjurkan agar anak-anak golongan bangsawan atawa pemimpin tradisional dilatih dan diasuh dengan cara dan gaya pemerintahan British dan dengan sikap modern ala Barat. Oleh itu, umpamanya, Raja Mansor dan Raja Chulan anakanda-anakanda Sultan Abdullah (1874-1876) yang disingkirkan British setelah peristiwa pembunuhan Residen British yang pertama di Perak, telah dihantar ke Melaka dan kemudian ke Raffles Institution Singapura oleh SS Governor, Jervois, untuk dididik di sekolah Inggeris.

Bagaimanakah upaya pihak British memerintah melalui Raja-raja Melayu, jika tiada bilangan pegawai dan pembantu yang secukupnya. Demikian juga bagaimana pula boleh didapatkan sebilangan orang Melayu untuk menyertai pemerintahan dan membantu pentadbiran jika tiada pendidikan sewajarnya secara yang dikehendaki British. Raja-raja perlu diyakinkan dan dibawa berunding supaya pandangan baginda dapat diperolehi dan seterusnya sokongan diberikan. Atas daya-utama dan daya-usaha Hugh Low, Sultan Idris Musyidul A’dzam Shah melawati England dan sekembalinya baginda berkeyakinan penuh bahawa cara British adalah yang terbaik bagi memodenkan negeri Perak.

Baginda membuka kelas-kelas khas di istana baginda dan kemudian menjayakan penubuhan The Hogan School yang kemudian dikenali sebagai The Clifford School Kuala Kangsar bagi tujuan itu. Jauh perjalanan luaslah pandangan. Baginda adalah yang termaju dan penuh inisiatif dalam hal pendidikan. Samaada terjadi semasa zaman baginda atawa terkemudiannya, bagindalah yang membibitkan Madrasatul Idrisiah Kuala Kangsar dan juga mendesak peningkatan pelajaran aliran Melayu juga dengan menggesa penubuhan sekolah latihan guru-guru sekolah Melayu yang kemudiannya menjadi Sultan Idris Training College (SITC) di Tanjung Malim.

Di samping itu baginda menghantar anakanda baginda Raja Alang Iskandar ke Oxford University untuk mendalami ilmu dari Barat. Kewujudan FMS dan kedudukan baginda sebagai Raja yang terkehadapan serta Perak sebagai negeri terkaya ketika itu dimanfaatkan baginda bagi pembangunan dan kemajuan negeri Perak khasnya dan FMS amnya tanpa mengasingkan sama-sekali Negeri-negeri Melayu selain FMS hatta UFMS.

Setahun selepas FMS ditubuhkan pihak British dengan perkenan Raja-raja yang berkenaan menjelmakan sepakatan pertama di mana suara bersama didapatkan untuk menjaya dan meningkatkan mutu pemerintahan Negeri-negeri Melayu yang Bersekutu (yang mengilhamkan cogankata Bersekutu Bertambah Mutu).

Raja-raja bersama Residen-residen dan juga Residen-Jenderal FMS dan Governor SS-cum-High Commissioner of FMS, bermukim selama empat hari di Kuala Kangsar untuk berunding buat pertama kali. Persidangan itu dikenali sebagai Durbar, meminjamkan istilah bagi Persidangan Maharaja-maharaja kat India. Agenda mereka adalah Ucapan Pengerusi iaitu High Commissioner of FMS, Usul Taat –setia kepada Queen Victoria, Perkara Hutang-piutang sesama Negeri FMS dan antara FMS dengan Negeri-negeri Selat, eksportan bijih-timah,hukum-hakam, perhubungan/komunikasi, pertanian, tanah dan imigresen, hasil-mahsul Negeri dan FMS, pertalian antara pentadbiran/pemerintahan gaya tradisional yang lazim dengan pemerintahan gaya modern/Barat. Tiada perbincangan khusus mengenai pelajaran/pendidikan kecuali secara sampingan dengan perbincangan pemerintahan modern dan keperluan tenaga pegawai untuk menjayakannya. Durbar kedua diadakan di Kuala Lumpur pada 1903.

Dalam persidangan itu tuntutan penggunaan bahasa rasmi FMS telah dibangkitkan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Baginda mendesak agar bahasa Melayu dikekalkan. Residen-Jenderal Treacher tidak bersetuju seraya menghujahkan bahawa bahasa Inggeris adalah yang lebih penting di dunia dan bagi perdagangan. Hujah beliau disokong oleh Residen Negeri Sembilan sendiri yang menyebutkan bahawa kerani di Negeri Sembilan tak pandai menulis dalam bahasa Melayu manakala kebanyakan orang Melayu pula tak pandai membaca dan menulis Melayu.

Sultan Perak menzahirkan pandangan berkompromi bahawa kedua-dua bahasa hendaklah digunakan dalam lingkungan dan suasana yang bersesuaian. Nyatalah dari ketika itu, bahasa Inggeris kian ditegaskan dan mengambil alih peranan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran dan pemerintahan.

Jika demikian, bagaimanakah wajar orang Melayu yang takut menyertai sekolah-sekolah Inggeris yang disangsikan akan mengkafirkan mereka didapatkan dalam bilangan secukupnya. Sultan Idris Mrsyidul A’dzam dan RJ Wilkinson, Merinyu Pelajaran FMS mencadangkan kepada Residen-Jenderal agar diadakan sekolah khas bagi anak-anak raja dan pembesar Melayu. Sultan Idris sendiri bersedia mengadakan tapak bagi sekolah itu. Residen-Jenderal, Treacher dan Residen Selangor, Rodger, mendesak agar lebih ramai orang Melayu diambil masuk sebagai pegawai perkhidmatan awam, baik dari golongan atasan maupun bawahan. Akhirnya apabila Andersons menggantikan Swettenham yang keberatan menyetujuinya, gagasan The Malay Residential School pun diasaskan sebagai eksperimen selama tiga tahun di Kuala Kangsar.

Bermulalah sejarah MCKK apabila bangunan-bangunan sementara termasuk rumah pekerja keretapi diambil sebagai sebahagian sekolah tersebut yang ditujukan untuk pendidikan bangsawan Melayu dari FMS. Sekolah yang dibimbingkan oleh seorang pendidik yang dedicated iaitu Guru Besar PFS bernama William Hargreaves membuktikan kejayaan eksperimen itu setelah menjalani tempoh percobaan selama tiga tahun. Maka seterusnya pada 1909 terbinalah wisma utamanya yang kekal hingga kini dan dikenali sebagai The Big School. Mulai tahun itu, The Malay Residential School (dengan jolokan Babul-darajat) diberikan nama The Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

Akhbar The Straits Echo yang terbit di Pulau Pinang mencatatkan bahawa “for some unknown reasons the Malay Residential School in Kuala Kangsar has been re-christened as The Malay College.” Dengan bermulanya operasi MCKK secara kekal pada 01/05/1909 itu, pihak pemerintah memperkenalkan Malay Probationary Scheme pada 1910 bagi mantan pelajar MCKK. Guru Besar, William Hargreaves yang dimandatkan berurusan secara langsung dengan Resident-General pada tahun-tahun 1905 hingga 1917, seterusnya dikehendaki mentadbirkan MCKK melalui Board of Governors yang dilantik iaitu terdiri daripada Residen-residen British, Pengarah Pelajaran Kolonial serta Wakil-wakil dari setiap Negeri-negeri Melayu.

MCKK dianggap wajar diiktiraf sebagai warisan budaya berasaskan kepada beberapa faktor yang hanya boleh dihargai jika tawarikh perkembangan pemerintahan berbentuk persekutuan pada 1896 membibitkan kaedah pemerintahan sebagai sebuah Persekutuan yang berterusan dan lebih besar sekarang.

Di samping itu, pertumbuhan dan perkembangan MCKK secara langsung dan taklangsung menampakkan penapakan kemajuan yang ditempa, direncana dan dilaksana secara evolusi dengan mengambilkira keadaan, sifat, sikap, nilai-nilai dan lain-lain kepentingan masyarakat sepanjang masa kewujudannya secara berterusan hingga sekarang. Bermula dengan menghargai bahawa Negeri-negeri ini dijajah via ikatan persetiaan dengan pucuk pemerintahan dan pentadbiran Melayu yang diwakili Raja-rajanya dan Orang Besar sebagai mewakili Raja-raja, MCKK menggunakan social superstructure demikian bagi menggalak, mendorong seraya menjanakan sikap yang memanfaatkan bagi bangsawan Melayu pada zahirnya tetapi manfaatnya menjerap dan melimpah ke peringkat jelata biasa, dengan mempengaruhi secara positif terhadap perkembangan sosial dan politik seluruh rakyat dalam hal-hal pentadbiran, perdagangan/perniagaan dan pemerintahan yang stabil dan mantap amnya.

Masalah terbesar yang dihadapi oleh Raja-raja, malahan oleh pihak British juga adalah bilangan yang kecil orang Melayu yang terdidik dalam bahasa Inggeris dan matapelajaran yang relevan untuk membantu pentadbiran. Sepertimana telah diperihalkan, sekolah-sekolah yang ditubuhkan lebih awal daripada MCKK tidak menarik minat ramai orang Melayu atas sebab lokasi yang berjauhan dari kawasan penempatan Melayu dan yang ketara sangat menyekat ibubapa Melayu memasukkan anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Inggeris adalah kebimbangan bahawa anak-anak mereka akan tergugat iman lantas menjadi Keristian. Hambatan demikian diperburukkan lagi oleh peer pressure bagi ibubapa yang cuba menjadi con-conformists dengan pola pemikiran ketika itu.

Kebimbangan mereka bukannya tanpa asas sebab banyak dari sekolah yang didirikan adalah diusahakan oleh pihak mubaligh Kristian. Walaupun terdapat sekolah seperti Penang Free School sejak 1816 yang kononnya meniupkan istilah ‘Free’ yakni bebas daripada dominasi agama Keristian dalam sebarang denominasi, namun Guru Besarnya yang pertama pun adalah seorang paderi. Bagi menampung atawa menongkah kekurangan bakal pentadbir Melayu, dan setelah memperhitungkan kebenaran tanggapan orang Melayu sedemikian, pihak British memilih anak bangsawan yang diagak berpotensi untuk dididik di sekolah-sekolah yang sudahpun wujud sebelum adanya MCKK. Tetapi FMS dan juga UFMS menghendaki jauh lebih ramai orang Melayu untuk mendapat asuhan dan pelajaran di sekolah Inggeris.

Oleh itu satu cara yang disedari seraya diinsafi khasnya oleh Sultan Idris dari Perak dan juga RJ Wilkinson, Pegawai Pelajaran FMS ialah dengan mengadakan sekolah khas yang melibatkan golongan bangsawan bagi mendapatkan bekalan bakal pegawai pentadbir dalam pemerintahan Negeri mereka. Jika Raja-raja merintiskan jalan seraya menunjukkan tauladan bahawa pendidikan di sekolah Inggeris tidak bererti penyingkiran agama dan iman, maka rakyat-jelata yang lain tidaklah juga akan menderitai kebimbangan sedemikian, lantaran hasil pengaruh dan kesan demonstratifnya dan sikap masyarakat Melayu yang tidak menyanggahi gaya dan cara amalan Raja-raja mereka.

Barang diingatkan semula bahawa Sultan Idris sendiri, setelah kembali dari kunjungan ke England sangat meyakini kepentingan pembangunan yang berasaskan teknologi Barat yang didapatkan melalui pendidikan dalam bahasa Inggeris, telah memulakan tuition classes di Istana baginda untuk keluarga adiraja dan kemudiannya baginda menyokong pengasasan The Hogan School (kini bernama Clifford School) di Kuala Kangsar sebelum baginda mencetuskan gagasan MCKK dalam Durbar kedua bersama-sama pihak pegawai kolonial yang turut bersimpati dan sependapat dengan baginda.

Kos menyenggara sebuah kor pegawai-pegawai British adalah membebankan meskipun FMS secara perbandingan adalah lebih kaya daripada Ceylon (kini Sri Lanka) contohnya. Lagipun pihak Colonial Office di London pun mendapati bahawa India dan Ceylon menempa kejayaan yang tak memudaratkan kepentingan British dengan mengada dan melibatkan penggajian rakyat tempatan. Maka demikian jualah sewajarnya, bagi FMS. Lagipun pembukaan perkhidmatan awam kepada orang Melayu (baca Raja-raja Melayu dan rakyat baginda) adalah penunaian amanah sebagaimana terdapat dalam berbagai Ikatan Persetiaan yang termaktub di Pangkor dan lain-lain tempat.

Residen-residen Selangor selepas Swettenham terutama Maxwell, Rodger dan Resident-General (Treacher) mempunyai pendirian kuat bahawa kemajuan orang Melayu menghendaki mereka dididik dalam bahasa Inggeris agar mereka dapat menjadi sebaya dan setaraf dengan orang bukan-Melayu dan juga pegawai British dalam memerintah Negeri.

Malahan seawal 1823 pun seorang jaguh kolonial, Stanford Raffles mendesak agar diberikan pendidikan Inggeris kepada anak-anak bangsawan Melayu, yang sebenarnya adalah satu amalan lumrah di beberapa wilayah dalam British Empire. Selepas kejayaan eksperimen selama tiga tahun 1905-1908 dan menjelang 1910 kekekalan MCKK diiktiraf, maka di semua peringkat FMS dan pada 1910, Skim Pegawai Percobaan Melayu (Malay Officers’ Probationary Scheme) diperkenalkan di MCKK di mana mereka yang lulus peperiksaan Darjah VII samaada dari MCKK maupun sekolah lain dipilih mengikutinya.

MCKK adalah institusi persekutuan (federal institution) yang tunggal dari 1905 dan walaupun ianya secara legal adalah FMS institution, namun pada hakikatnya sepanjang waktu dari 1905 hingga penutupannya menjelang penaklukan Jepun, MCKK telah memberikan kesempatan dan peluang bagi murid-murid yang terpilih dari Negeri-negeri selain FMS termasuk Brunei dan Sarawak untuk masuk belajar di situ.

Itulah sebab hampir kesemua Raja-raja Melayu (termasuk Sultan Ahmad Tajuddin dan Sultan Omar Ali dari Brunei) yang menaiki takhta antara 1905 hingga 1957, dan juga Raja Syed Hamzah (Perlis) Sultan Ali (Terengganu) dan Sultan Musaeddin (Selangor) ketiga-tiganya disingkirkan British selepas Perang Dunia II, adalah mantan pelajar MCKK. Sebagai institusi latihan Malay Probationers pula, yang biasanya meningkat ke taraf pegawai Malay Administrative Service dan beberapa orang daripada mereka ke martabat Malayan Civil Service (MCS) dan juga JCS, KnCS, TCS, KCS dan PCS dari Negeri UFMS, MCKK memainkan peranan seperti Institut Tadbiran Negara (INTAN) sekarang ini. Yang demikian terbukti dengan hampir kesemua State Secretaries dan Menteri Besar di zaman pra-Merdeka khasnya adalah oldboys atawa mantan murid MCKK.

Beberapa orang daripada mereka menerima penghormatan tertinggi British, contohnya tiga daripada empat orang Melayu yang menyambut Knighthoods (bergelar Sir) adalah oldboys, iaitu Sir Raja Uda, Sir Onn Jaafar dan Sir Mahmud Mat. Pola pendidikan diperolehi di MCKK mengikut kaedah Public School system khasnya Eton, antara 1909 hingga 1941 bagi Malaya dan kesan pengaruhnya yang positif tidak syak mempengaruhi perjalanan pemerintahan yang memanfaatkan Melayu khasnya dan amnya Negeri-negeri Semenanjung baik FMS, maupun UFMS termasuk Brunei. Kebanyakan Pangerannya telah mendapat pendidikan di MCKK sebelum 1941 selain seorang-dua lagi dari Sarawak yang ketika itu diperintah oleh Raja-raja Brooke.

Lantaran penaklukan Malaya dan kebanyakan Negara di Asia Tenggara oleh Jepun antara 1941 hingga 1945, menyekat sementara kelestarian MCKK. Namun sebaik sahaja kembalinya Pemerintahan British dan semasa Malayan Union yang dipaksakan oleh Harold MacMichael, maka wujudlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) pada 11/05/1946 sebagai tindakbalas yang perkasa. Pekembar sendiri yang diterajui oleh seorang oldboy MCKK, Datuk Sir Onn bin Jaafar, telah mendesak agar MCKK dibuka semula bagi meneruskan wadah perjuangan bangsa Melayu demi kemajuan, kestabilan, kemanfaatan kepada Malaya yang sedang berjuang bagi mencapai kemerdekaan.

Pekembar yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu khasnya dan Malaya amnya telah mendesak pembukaan semula MCKK yang diperluaskan lagi kemudahannya dari segi fizikal dan peluang pendidikan kepada semua orang Melayu mengikut nisbah dan kuota bagi setiap Negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu. Pekembar juga telah mengeluarkan biasiswa bagi penuntut yang bijak tetapi kurang kemampuan. Di samping itu, Pekembar juga mendesak penubuhan lagi satu institusi seumpama MCKK khas untuk gadis Melayu. Oleh itu, pihak British dengan perkenan Sultan Selangor telah mengasaskan The Malay Girls’ College (MGC) di Damansara Kuala Lumpur. MGC tersebut telah dipindahkan dari Kuala Lumpur ke Seremban dan ditukar namanya menjadi Tunku Kurshiah College semasa Khir Johari menjawat tugas Menteri Pelajaran.

Kejayaan MCKK sebagai perintis dan pengacu pemikiran Melayu dalam perkembangan politik, pentadbiran dan kemajuan am orang Melayu dari berbagai peringkat dan kelompok masyarakatnya dengan mengambilkira keadaan yang berubah dari masa ke masa, mendorong penubuhan berbagai sekolah lain. Umpamanya kesangsian menikmati pelajaran sekolah Inggeris turut dikurang dan seterusnya dihapuskan oleh MCKK.

Orang Melayu lebih ramai memasuki sekolah-sekolah Inggeris yang ditubuhkan di Negeri-negeri. Lebih banyak lagi Government English Schools (GES maupun GEGS) diwujudkan di Negeri-negeri hasil desakan dan minat orang Melayu yang sudah kurang kebimbangan pengaruh pendidikan Inggeris yang kononnya upaya melemahkan iman keislaman anak-anak mereka. Oleh itu kebanyakan GES/GEGS atas biaya Kerajaan Negeri, bukan biaya badan mubaligh mula tumbuh di merata tempat.

Sesetengahnya bertukar nama dari GES Alor Setar (tertubuh 1908), menjadi Sultan Abdul Hamid College pada 1935, atawa Sultan Yusuf School, Batu Gajah, atawa Raja Perempuan Kalsom School, Kuala Kangsar, dan lain-lain lagi. Bagi Negeri Perlis yang tidak upaya mengadakan sekolah Inggeris sepenuh biaya oleh Kerajaan, maka diusahakan pungutan derma bagi mengadakannya lantas terwujudlah Derma English School, Kangar. Maka tidak syak lagi bahawa keberadaan MCKK seawal 1905 atas daya-utama Raja-raja FMS mempengaruhi pemikiran Raja-raja FMS dan UFMS juga, seterusnya rakyat baginda sekalian pada waktu sebelum Perang Dunia II, terhadap pendidikan Inggeris, kearah berubah ruang wawasan dan tanggapan (radius of vision and perceptual field) kenegerian kepada kepentingan Melayu seluruh Semenanjung (pan-Peninsular) dan minat dari mencari rezki dalam bidang pertanian ke bidang jasa / perkhidmatan (service) dan sebagainya.

Apabila kuasa dan wibawa (power and authority) mula berpindah dari golongan bangsawan kepada golongan bawahan, MCKK jugalah menjadi model bagi memacu perkembangan pendidikan Melayu, bermula dengan pindahan pandangan serta penghargaan agar kemajuan wanita Melayu tidak diabaikan. Maka MGC kini TKC, terasas pada 1947. Kejayaan dan perkembangan yang menggalakkan sebagaimana dizahirkan dengan nyata oleh MCKK dan institusi-dampingannya, MGC, bagi menjelmakan hasil baik all-round education telah mendorong penubuhan sekolah seumpamanya iaitu Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Tun Fatimah (STF) dan Sekolah Alam Shah (SAS) dan lain-lain lagi menjelang atawa sejurus selepas Merdeka.

Selepas pengenalan Dasar Ekonomi Baharu yang menjadi dasar usaha pencapaian beberapa matlamat Rukunegara, pembukaan lagi banyak sekolah berasrama penuh disediakan oleh pihak Kementerian Pelajaran dan juga agensi-agensi Kerajaan selainnya bagi menyediakan prasarana pendidikan terbaik dan ternyata berkesan sebagaimana telah ditauladani daripada MCKK. Sehingga akhir 1955 iaitu tahun pertama Malaya memperolehi hakkuasa pemerintahan sendiri (home-rule), hanya MCKK dan MGC sahaja wujud sebagai federal educational institutions di bawah tanggungjawab Kementerian Pelajaran yang diterajui Dato’ Abdul Razak bin Hussain. Dua lagi federal institutions di bawah portfolio beliau adalah sekolah bagi latihan guru Melayu iaitu Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim dan Malay Women Teachers’ College (MWTC), Melaka.

Kejayaan MCKK yang menjadi model bagi MGC, SDAR, STAR, STF, SAS dll. lagi telah pula menggalakkan Kerajaan dengan desakan rakyat untuk mengadakan lebih banyak lagi Sekolah-sekolah Berasrama Penuh. Malahan badan-badan lain seperti MARA dan Yayasan-yayasan tertentu juga turut menubuhkan Kolej Tuanku Jaafar, Maktab-maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kolej Yayasan Saad, dan lain-lain. Dari permulaan kecilnya sebagai experimental institution pada 1905 dan penerusannya secara kekal lantaran kejayaannya, pada 1909 dan sebagai pelatih dan penyumbang bakal petugas dan pegawai Kerajaan di semua Negeri yakni bukan terhad kepada FMS.

Mulai 1910, sebagaimana disebutkan tadi, MCKK juga berperanan dan bertanggungjawab melaksanakan tugas seperti INTAN sekarang. Jika tidak kerana kejayaan MCKK menghasilkan kebanyakan pegawai Tadbir Melayu di FMS/UFMS/Persekutuan Tanah Melayu, bagaimanakah upaya kita mengambil-alih pemerintahan / pentadbiran negara tanpa menggoncang kestabilan yang wujud pra-Merdeka pada ketika sejurus pasca-Merdeka via program Malayanisation yang mendadak. MCKK adalah jamung penerang kepada orang Melayu yang upaya mengikuti perkembangannya via akhbar-akhbar seperti Warta Malaya, Utusan Melayu dan sebagainya.

Sebaik sahaja tamat Perang Dunia yang mengakhirkan pemerintahan Jepun, maka antara yang pertama didesak oleh orang Melayu di bawah bimbingan Pekembar iaitu badan tunggal pelindung dan pejuang Melayu ketika itu, ialah pembukaan semula MCKK pada 31/01/1947 dengan bilangan murid terbanyak sejak 1905 iaitu 205 dan meningkat kepada 228 setahun kemudian berbanding dengan hanya 160 sahaja pada 1940.

Pekembar juga mendesak dan mendapatkan perwujudan MGC di Damansara (kini tapak ISTAC) pada tahun yang sama. MCKK menghargai sumbangan terbesar Pekembar yang menjadi wahana tunggal dan perkasa orang Melayu, dan direkodkannya dalam Majalah 1948 MCKK bahawa Headmaster (Carey) sendiri telah menaikkan bendera Pekembar, yang terbesar dijahit, ke puncak tiang bendera utama MCKK pada 01/02/1948.

Pada malam sebelumnya, satu sandiwara khas dipentaskan bagi merayakan pemansuhan Malayan Union bergantikan Federation of Malaya Agreement yang diakhiri dengan nyanyian oleh seluruh badan pelajar MCKK lagu yang diperihalkan oleh Hashim Sam A Latiff sebagai ‘the new Malay National Anthem’. Lagu itu adalah lagu ‘Hidup Melayu’ yang pertama kali dinyanyikan pada 27/07/1946 di padang Francis Light School Pulau Pinang apabila Sultan Badli Shah dari Kedah berkenan merentapkan agar berkibar buat pertama kali pepanji Pekembar bagi merasmikan Sidang Agung Pekembar yang ketiga.

Senikatanya:

“Semenanjung Tanah Melayu
Tanah tumpahnya darahku
Tanah pusaka dari bangsaku
Pusaka yang kujunjung tinggi
‘Hidup Melayu’ kirimkan salam
Bangsamu mengubah haluan
Hiaskan namamu siang dan malam
Harumkan namamu ke serata alam”.

MCKK nyata bukan hanya lembaga tampak atawa artifak iaitu physical asset dan heritage bangunannya tetapi juga adalah sumbangannya secara langsung dan tak langsung seiringan dengan dan serasi kepada perkembangan kebudayaan, sosial, politik dan am bagi orang Melayu khasnya dan Malaysia amnya. Sumbangan-sumbangannya secara demikian tidak menggugat kestabilan sosial masyarakat kerana dilakukan secara evolusi.

Sebagai menghargai kedudukan dan hakikat sumbangan demikianlah maka Menteri Pelajaran Malaysia meneruskan amalan yang bermula dari 1917 hingga sekarang, di mana MCKK adalah institusi tunggal yang mempunyai Board of Governors yang dilantik sendiri oleh beliau. Dengan sebab-sebab yang diperihalkan dan yang tak sempat diceriterakan, maka Majlis Raja-raja juga telah berkenan mengisytiharkan pada 26/03/2005, MCKK sebagai berada di bawah naungan baginda sekalian selama-lamanya.

Pemasyhuran tersebut telah dilafazkan oleh Yang Dipertuan Agung XII, seorang Old Free, di hadapan bangunan The Big School, MCKK. Secara kebetulan PFS (sekolah Ingggeris tertua di Malaysia) dan MCKK (sekolah berasrama penuh tertua di Malaysia) mempunyai pertalian yang akrab. Bermula dengan perlantikan Hargreaves, Headmaster PFS sebagai Headmaster MCKK pada 1905 dan berakhir dengan pertukaran Hughes, Acting Headmaster MCKK, sebagai Headmaster Inggeris terakhir bagi PFS pada 1956, pertandingan bola sepak antara-sekolah lintas-negeri pertama juga berlaku antara MCKK dan PFS pada 1926.

Permasyhuran MCKK sebagai institusi di bawah naungan Raja-raja pula dibuat oleh seorang Old Free. Baginda juga turut menganugerahkan Piala Sirajuddin bagi perebutan pusingan tahunan perlawanan bola sepak/hoki antara PFS dan MCKK. Tiada perlu ada kesangsian bahawa MCKK memang selayaknya dianugerahkan gelaran Warisan Kebangsaan.

[MCKK is a living example of a living heritage which has remained true to its original foundation as an educational institution evolving and adapting to changes through out its more than a century history…]

“MCKK meets at least six of the criteria for declaration as a National Heritage under Sec 67 (2) of the Relevant Act…. LKY’s speech on Teachers’Day of Singapore on 31 08 2006: If you look at the best schools overseas of ten they will emphasise not just education and academics but also character and leadership development. And it is true the world over…”

“In Malaysia you may have heard of the Malay College Kuala Kangsar which in the 1940’s and 1950’s before and after the War, groomed a whole generation of Malay nationalist leaders, who played a key role, fighting for Malay rights when the British were leaving Malaya and Malaya was becoming independent. They fought and they stood up and made Malaysia what it is today…”

1 COMMENT

  1. I’m truly enjoying the design and layout of your site. It’s a very easy on the eyes which makes it much more enjoyable for me to come here and visit more often. Did you hire out a designer to create your theme? Exceptional work!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here