[BM] Otobiografi Sanusi (7) – Mengenali MCKK

0
2416

TIBA DI KUALA KANGSAR

Bila sampai di stesen keretapi Kuala Kangsar, abang angkat saya, Talib bin Abdullah telah membelanja saya untuk makan nasi lemak dan milo bersamanya di kedai makan mamak di stesen keretapi itu. Selepas itu abang Talib telah membawa sebuah beg yang berisi pakaian saya dan kami sama-sama berjalan kaki dari stesen keretapi ke MCKK.

Sampai di anjung pintu masuk ke bangunan baru sekolah saya telah ditinggal oleh abang Talib kerana beliau terpaksa naik keretapi yang akan segera tiba di stesen Kuala Kangsar untuk beliau kembali ke Prai dan seterusnya ke Alor Setar untuk pergi ke Kuala Kedah naik feri menuju ke pelabuhan Kuah di Langkawi. Bang Talib terpaksa segera pulang ke Langkawi kerana beliau telah lama meninggalkan tempat kerjanya.

Saya telah menarik beg saya untuk masuk ke pejabat pengurusan MCKK dan berjumpa dengan kerani besar Encik Suffian. Saya juga mula berkenalan dengan pembantu pejabat atau office boy yang bernama Rahman yang turut membantu saya mengangkat beg. Bang Rahman kelihatan mesra orangnya.

TIDAK CUKUP SYARAT UNTUK MASUK KE MCKK

Selesai saya memperkenalkan diri maka saya terus diberitahu oleh kerani Encik Suffian bahawa nama saya telah dibatalkan dalam senarai pelajar baru di MCKK untuk tingkatan satu, dan hanya Guru Besar Mr. J. D. Howell sahaja yang boleh menolong saya untuk memasukkan semula nama saya ke dalam senarai.

Encik Suffian minta untuk bertemu dengan ibu bapa saya. Saya memberitahu bahawa bapa saya baru meninggal dunia beberapa bulan yang lalu dan saya hanya dihantar ke anjung pintu ke bangunan pejabat MCKK ini oleh anak angkat bapa saya, dan beliau telah pun meninggal saya di anjung kerana beliau terpaksa pulang ke Langkawi di mana beliau bekerja sebagai mesin operator di Kim Sun Talkies.

Encik Suffian kelihatan bingung dan saya pun minta untuk bertemu sendiri dengan Guru Besar yang biliknya berada di sebelah kanan depan bilik pejabat Encik Suffian. Iaitu di kanan jalan menuju ke Dewan Hargreaves.  Encik Suffian memberitahu bahawa untuk melayakkan saya menjadi pelajar saya perlu mempunyai keperluan pakaian seperti kasut, tuala, seluar, baju, sarung kaki, baju dalam atau singlet, seluar dalam, dan lain-lain lagi dalam jumlah untuk diguna dalam seminggu. Saya hanya bawa dua helai setiap satu jenis pakaian dan dua pasang kasut putih.

Encik Suffian menyatakan, bahawa selain dari nama saya telah dipotong dari senarai pelajar-pelajar baru untuk Tingkatan Satu nampaknya peluang untuk saya diterima sangat tipis kerana Mr. Howell katanya sangat disiplin orangnya dan tidak akan berganjak dari peraturan yang ditentukan untuk kemasukan seseorang pelajar.

Saya juga dipersiapkan oleh Encik Suffian untuk bertemu dengan seorang Guru Besar, yang garang, dari keturunan Inggeris.

Bila saya memberitahu kepada Encik Suffian bahawa saya tidak takut bercakap sendiri dengan Guru Besar kerana saya pernah menjadi kedi golf kepada pegawai-pegawai tentera British yang garang di padang golf Sungai Petani, Encik Suffian pun keluar sekejap untuk berjumpa dengan Guru Besar. Tidak lama kemudian saya dijemput masuk untuk bertemu dengan Mr. Howell.

Sebelum saya masuk ke bilik Mr. Howell saya teringat untuk memanggil beliau tuan, dan bukan Kolonel, Keptan, Major atau General sebagaimana panggilan biasa pemain-pemain golf di padang golf Sungai Petani. Di kampong Aceh saya pernah mendengar orang tua-tua mengatakan bahawa orang Melayu suka dipanggil abang, orang China suka dipanggil taukeh, orang India dipanggil tambi, orang Aceh dipanggil Teungku dan orang putih dipanggil tuan. Saya pun masuk ke bilik Guru Besar Tuan Howell.

Ternyata Mr. Howell seorang guru besar yang sukar dirundingi. Beliau mengulangi apa yang Encik Suffian katakan iaitu dua sebab kenapa saya tidak boleh diterima sebagai pelajar, iaitu lambat melapor dan tidak cukup alat dan kelengkapan pelajar sebagaimana yang ditetapkan. Saya cuba menjelaskan bahawa bonda saya telah memesan pada saya supaya terus mencuci baju yang saya sudah pakai apabila saya pakai yang satu lagi. Dua helai baju sudah cukup. Begitu juga dengan pakaian dan kelengkapan lain. Mr. Howell tidak boleh menerima lojik ini.

RAYUAN DITOLAK

Saya juga memberitahu kepada Mr. Howell bahawa saya telah lambat datang kerana terpaksa mengumpul wang untuk membeli baju dan kelengkapan yang secukupnya mengikut syarat yang ditentukan untuk pelajar-pelajar baru. Sejak ayah meninggal dunia, tanpa tabungan wang yang mencukupi, ibu saya dan saya sendiri terpaksa berusaha mengumpul wang untuk membolehkan saya ke MCKK secepat mungkin. Mr. Howell nampaknya mendengar sahaja dan tidak terpengaruh dengan hujjah saya. Setelah selesai saya memberi penjelasan dan membuat rayuan beliau hanya berkata, ‘ …….. You may go.’ Tiga perkataan yang kekal dalam ingatan saya hingga ke hari ini. Saya telah mencatit dalam buku peringatan semua kejadian di mana jua ia berlaku.

Setelah keluar dari bilik Mr. Howell saya masuk ke pejabat Encik Suffian untuk memaklumkan padanya keputusan Mr. Howell dan seterusnya mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal.

Kesimpulan dari pengalaman ini sangat membantu saya dalam hidup di waktu dewasa. Jelas sekali masalah untuk orang miskin ialah syarat yang dibuat yang menyekat penyelesaian sesuatu masalah. Apalah perlunya 6 helai baju jika dua helai sudah cukup jika satu dipakai apabila yang satu lagi dicuci.

BEKERJA DI KEDAI MAMAK DI STESEN KERETAPI

Saya terus angkat beg dan berjalan kaki sejauh lebih satu kilometer ke stesen keretapi Kuala Kangsar. Apabila saya dapati harga tambang dari Kuala Kangsar ke Prai dan seterusnya ke Gurun lebih dari wang yang ada dalam saku saya maka saya pun berfikir untuk mengguna wang itu untuk belanja makan sementara saya mencari kerja seperti menjadi golf kedi atau mencuci kereta atau pun menjadi pemungut bola tenis di gelanggang tenis, seperti yang saya kerjakan di waktu berada di Sungai Petani.

Saya juga berpengalaman bekerja mencuci pinggan di kedai makan mamak di Lam Seng Coffeeshop, Jalan Ibrahim Sungai Petani di waktu saya belajar di Sekolah Menengah Ibrahim.

Waktu saya makan roti canai di kedai mamak di Stesen Keretapi saya bertanya kepada seorang pekerja dewasa dalam kedai itu yang saya anggap sebagai pemilik kedai makan itu, samada saya boleh ambil upah kerja cuci pinggan dan membersihkan kedai dengan bayaran minima sahaja. Saya beritahu pada mamak saya tidak dapat ke MCKK kerana tidak cukup syarat masuk dan saya juga tidak dapat balik ke kampung kerana tidak cukup wang tambang. Lagipun, jika saya balik ke kampung pun saya terpaksa mencari kerja juga yang boleh diberi kepada kanak-kanak oleh majikan untuk mengumpul wang belanja untuk terus balik ke sekolah.

Mamak setuju saya bekerja di kedainya dan upahnya hanyalah makan percuma untuk sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Saya mendapat tiga roti canai percuma sehari sebagai upah bekerja di kedai. Saya cicah roti canai dengan dal dan saya dapat secawan kopi setiap kali makan. Selain itu saya minum air dari paip.

MERAYAP MENCARI PELUANG KERJA LAIN

Pada setiap hari, baik saja saya selesai basuh pinggan mangkuk, sapu dan buang sampah, saya menggunakan sisa waktu untuk berjalan kaki keliling pekan Kuala Kangsar untuk mencari peluang pekerjaan lain yang boleh memberi pendapatan yang lebih. Saya dapati ada sebuah padang golf kecil, yang padangnya kelihatan seperti padang yang biasa diguna untuk permainan polo. Tidak ada peluang menjadi pembantu kedi di situ kerana selama tiga hari berturut saya ke situ kelihatan tidak ada yang bermain golf.

Saya merayap di sekeliling kota sampai ke tepi sungai Kuala Kangsar di mana terdapat banyak perahu yang membawa penumpang untuk menyeberang ke Sayong. Tidak ada peluang bekerja untuk kanak-kanak di situ. Saya telah mengelak dari singgah di MCKK, sebaliknya saya pergi ke Sekolah Clifford yang berjiran dengan MCKK untuk melihat peluang bekerja sebagai pemungut bola tenis di gelanggang tenis yang ada di situ. Nampaknya peluang bekerja sebagai pemungut bola tenis juga sangat tipis.

Saya pun terus menetapkan hati untuk terus bekerja sebagai pencuci pinggan mangkok di kedai mamak. Allahyarham ayah saya pernah menyatakan bahawa seseorang yang rajin, dalam apa jua jenis kerja yang dilakukan, asal yang tidak bersalah di sisi undang-undang dan ugama, pasti terjamin hidupnya.

BERTEMU CIKGU TARA SINGH

Pada hari Ahad berikutnya seorang lelaki tampan yang kelihatan kurus dan segak, dengan pakaian untuk bersenam, menegur saya setelah saya menghidang roti canai, kopi dan kari ayam di depannya. Beliau berkata, ‘You were not here the last time I was here …  where are you from?’ (Kamu tidak ada di sini pada kali terakhir saya ke sini …. kamu dari mana?)

Saya menjelaskan padanya keadaan yang telah berlaku yang menyebabkan saya menjadi pekerja di kedai mamak. Beliau telah bertanya jawab beberapa perkara dengan saya. Kemudian barulah beliau memberitahu bahawa beliau ialah Encik Tara Singh, seorang guru di MCKK. Walaupun seorang Punjabi beliau tidak berserban. Beliau seterusnya memberitahu bahawa Guru Besar yang saya temui, yang telah menolak rayuan saya untuk belajar di MCKK, sudah pun kembali ke England kerana tempoh khidmatnya di MCKK telah tamat. Guru baru bernama N. J. Ryan. Beliau baru melapurkan diri minggu lalu dan beliau ialah ahli sejarah dan pada pendapat Encik Tara Singh beliau mudah memahami masalah golongan miskin dari Mr. J. D. Howell sebagai seorang anak pembesar di Britain.

MELAPOR KALI KEDUA

Cikgu Tara Singh telah meminta saya untuk pergi ke MCKK kira-kira tepat pukul 10.00 pagi besok di Science Laboratory yang letaknya di samping toilet di tepi kedai gunting ‘main office’ iaitu di bangunan yang saya pergi pertama kali diiringi oleh Bang Talib.

Tepat pukul 10.00 pagi besoknya saya, dengan sebuah beg, sudah berdiri di pintu keluar Science Laboratory dan, selesai kelasnya, Cikgu Tara Singh bawa saya untuk bertemu guru besar N. J. Ryan.

Mr. Ryan telah diberitahu lebih awal oleh Encik Suffian mengenai kedatangan saya pada hari itu. Setelah saya dibawa masuk ke bilik Guru Besar maka Cikgu Tara Singh telah meninggal saya di situ.

SAYA DIKATAKAN BUKAN BUMIPUTERA

Mr. Ryan terus bersalam dengan saya dengan senyuman mesra sambil berkata, ‘Welcome back.’ (Selamat datang semula) ‘You have three problems …’ (Kamu ada tiga masalah) Saya terus menyampuk, ‘ Two Sir.’ (Dua tuan). Apa dia dua masalah kamu, tanya Mr. Ryan. Saya menjawab, pertama, saya lambat melapurkan diri dan kedua saya tidak cukup kelengkapan, alat dan pakaian sebagaimana yang disyaratkan. ‘You do not know your third problem?’ (Kamu tidak tahu masalah ketiga kamu?) Mr. Ryan bertanya. Beliau terus menjawab, ‘You are not a Malay by the definition of the Malaysian Constitution.’ (Kamu bukan seorang Melayu mengikut Perlembagaan Malaya). Sebagaimana kebiasaan reaksi yang saya dengar di kalangan pemain yang mendengar berita yang sukar dipercayai di padang golf, saya terus menyampuk, ‘You are joking Sir?’ (Tuan bergurau?). Jawab Mr. Ryan ‘No.’

Berasaskan pengalaman saya dengan pemain golf kulit putih di padang golf dan di Kelab Sungai Petani, tanpa gentar saya menyatakan bahawa ‘berketurunan Aceh itu bererti berbangsa Melayu’ dan ‘saya diberitahu di kampong oleh orang tua-tua bahawa perbezaan antara Indonesia dan Malaya hanyalah kerana berbeza penjajahnya …. Indonesia dijajah oleh Belanda sementara Malaya dijajah oleh Inggeris…. Oleh kerana Aceh sebahagian dari Indonesia maka semua penduduk Kampung Aceh sangat benci pada Belanda.’

Mr. Ryan menjelaskan bahawa ayah saya bukan rakyat Malaya dan beliau, sebagai pendatang, tidak pun mempunyai kad pengenalan merah apatahlagi kad pengenalan biru. Lesen memandu yang beliau miliki, yang salinannya telah awal saya serahkan kepada kerani Encik Suffian, telah dikeluarkan secara tidak sah oleh ejen di sekolah memandu kereta dan bukan dokumen yang sah dikeluarkan oleh pejabat RIMV. Untuk mendapat lesen memandu ayah saya perlu terlebih dahulu memiliki sekurang-kurangnya kad pengenalan merah.

BERDEPAN DENGAN KISAH PENIPUAN DAN RASUAH

Inilah kali pertama saya berdepan dengan satu penipuan atau rasuah, di dalam hidup saya, tergantung kepada siapa yang mengeluarkan lesen memandu kereta kepada ayah saya. Yang nyata ialah lesen ini telah laku digunakan oleh ayah saya untuk memandu teksi dan lori sepanjang hayatnya. Ejen syarikat sekolah memandu kereta telah pun menipu ayah saya ataupun telah memberi rasuah kepada pegawai yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan lesen memandu yang palsu. Ayah saya telah menerima apa saja yang diberi asal boleh tinggal dan bekerja di Malaya.

Saya mendapat tahu bila saya sudah lebih dewasa bahawa ayah saya juga tidak mempunyai KTP (Kartu Penduduk) waktu di Indonesia kerana beliau tidak mengiktiraf kewujudan Belanda di Aceh. Mungkin juga beliau tidak berminat untuk mendapat kad pengenalan yang dikeluarkan oleh British yang menjajah Malaya di waktu itu.

MINAT GURU BESAR KEPADA KISAH KELUARGA SAYA

Mr. Ryan telah meminta saya bercerita kisah hidup saya sebelum saya mendapat tawaran ke MCKK. Saya dengan penuh keghairahan telah menceritakan mengenai Kampung Aceh, di Yan, Kedah tempat saya dilahirkan, kisah di Sekolah Ibrahim Sungai Petani dan pengalaman saya sebagai pemungut bola tenis, pembantu kedi golf, mencuci kereta, kerja cuci pinggan di kedai mamak dalam kedai kopi Lam Seng dan menjual makjun puteri Madura di Pekan Rabu, Guar Chempedak. Lebih satu jam Mr. Ryan berceloteh dengan saya.

GURU BESAR BERMINAT KEPADA SEJARAH ACEH

Selesai saya bercerita dan bersoal jawab, Mr. Ryan, sebagai ahli sejarah Nusantara telah bertanya, beberapa soalan yang mengejutkan saya mengenai orang Aceh di Malaysia, khususnya di Kampung Aceh dan di Pulau Pinang. Tanpa mengetahui sejarah apa yang dipelajari oleh Mr. Ryan beliau mengejutkan saya lagi bila beliau bertanya apa yang saya tahu mengenai Teungku Dawud Beureueh, Teungku Tjik Di Tiro, Teungku Omar, Tjut Nyak Dhien dan Admiral Malahayati. Saya hanya beritahu mengenai tiga pahlawan lelaki Aceh yang berperang menentang Belanda. Di waktu kecil di Kampung Aceh, kanak-kanak lelaki sering berlakun menjadi salah seorang dari pahlawan Aceh tersebut. Oleh kerana kanak-kanak perempuan tidak bermain perang bersama kanak-kanak lelaki maka tidak ada yang mewakili Cut Nyak Dien, Cut Meutia dan Admiral Malahayati.

TERLALU KECIL UNTUK JADI KEDI

Saya terpaksa menjelaskan kepada Mr. Ryan mengenai jawatan pembantu kedi kerana beliau menyatakan saya terlalu kecil untuk mampu menggalas beg golf sebagai seorang kedi. Mr. Ryan tidak memain golf tetapi beliau jaguh tenis dan maharaja ragbi, jenis sukan yang sangat digemarinya.  Katanya, ‘You are too small for rugby.’

Mr. Ryan bertanya mengenai amalan agama Islam di Kampong Aceh kerana beliau mengetahui Aceh adalah sebuah negeri di Sumatera yang bergelar ‘Serambi Mekkah’ kerana pegangan agama rakyatnya sangat kuat. Saya tidak menghadapi masalah menjawab soalan Mr. Ryan kerana saya banyak mendengar cerita mengenai sejarah Aceh di meunasah Kampung Aceh di masa kecil saya walaupun apa yang saya tahu adalah sangat terbatas.

KEPUTUSAN N. J. RYAN MEMBANTU SAYA

Oleh kerana saya tidak diiktiraf sebagai Melayu yang berhak mendapat biasiswa di MCKK maka Mr. Ryan, setelah mendengar, dengan penuh perhatian dan simpati, telah memberitahu saya, ‘Forget about you not being a Malay ….. just be like one …. you can enjoy all the facilities in the college but you will not get a full scholarship. But I will use the Headmaster’s right to award you First Grade Scholarship and by that you will get RM20.00 every month.’ (Lupakan saja bahawa kamu tidak dianggap Melayu … jadilah Melayu seperti biasa .. awak boleh menikmati semua kemudahan di kolej tetapi awak tidak akan dapat biasiswa penuh. Sebagai guru bear saya akan mengguna kuasa saya untuk menawarkan Biasiswa Grade Satu untuk membolehkan kamu mendapat RM20.00 setiap bulan.’

Akhirnya, Mr. Ryan memesan, ‘Keep all our discussions to yourself, and let no one else know about your non-Malay status … its a stupid law… as you had been an assistant golf caddie you might wish to go to Taiping Golf Glub where the ground, with Taiping being the place with a record of having the heaviest rainfall in the country, are as soft as those in Kedah and they might need your service… you can leave on weekends quietly and I will inform the prefects not to stop you. .. Otherwise you have to follow all the rules of the school … I will not be kind if you misbehave..’ (Rahsiakan perbicaraan antara kita.. jangan beritahu pada semua mengenai kamu tidak bertaraf Melayu.. ini semua undang-undang bodoh . oleh kerana kamu pernah menjadi pembantu kedi kamu boleh cuba cari kerja di Padang Golf Taiping di mana tanah lapangan golf lembab kerana hujan lebat di sana dan mereka mungkin perlu perkhidmatan kamu .. kamu boleh ke sana bila-bila saja di hujung minggu dan saya akan beritahu pengawas sekolah untuk tidak menghalang kamu .. Sebaliknya kamu perlu patuh kepada semua peraturan sekolah … saya tidak akan bersimpati jika kamu buat perangai melanggar peraturan..). Pesanan Mr. Ryan ini saya catit dalam buku kecil saya dan menjadi bahan ingatan saya pada setiap masa.

PELAJAR TINGKATAN SATU YANG BERASAL DARI KEDAH

Pertama kali saya di MCKK saya telah mencari rakan-rakan sekelas yang berasal dari Kedah atau khususnya dari Ibrahim School Sungai Petani.

Selain saya terdapat beberapa orang pelajar Tingkatan Satu yang berasal dari Kedah. Sahabat dari Kedah yang dekat dengan saya ialah Shahimi Shafie yang berasal dari Merbau Pulas, Mohd Yusof Hamid dari Alor Setar. Bapak kepada Yusof mempunyai perniagaan mengedar curut di seluruh Kedah. Oleh itu nama gelarannya ialah Yusof Curut sementara Shahimi dipanggil Tadpole oleh rakan-rakan. Anuar Khalid berasal dari Alor Setar. Bapa Anuar bekerja sebagai Inspektor dalam pasukan polis. Empat orang kami berhubungan erat sehingga kami menggelar kumpulan kami sebagai FFK (Four From Kedah) atau ‘Empat Dari Kedah’.

Begitu fanatik kepada kumpulan ini sehingga ditapak pasangan selipar Jepun saya pun terukir dengan huruf FFK. Kami bercita-cita untuk mengecapkan label yang sama kepada baju-baju singlet kami. Tidak ada yang tahu mengenai kumpulan FFK ini kerana tapak selipar dan baju dalam kami tidak terdedah kepada pelajar lain.

Ada dua orang lain sedarjah dengan kami yang berasal dari Kedah iaitu Abdul Hamid Marzuki dari Kulim dan Shukor Mohd Nor dari Kampung Derga di Alor Setar.

Shahimi berkelulusan sebagai seorang Dr. dalam bidang kimia, Anuar Khalid seorang engineer letrik, Yusof menjadi Professor di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Shukor menjadi seorang doctor dan Hamid lulus dalam bidang engineering.

DIROTAN OLEH GURU BESAR

Setelah belasan bulan di Tingkatan Satu MCKK saya telah menghadiri satu perjumpaan dan mendengar Dato’ Haji Shuhaimi Kamaruddin memberi syarahan mendesak pelajar-pelajar untuk mengirim surat yang akan disediakan nanti untuk ibu bapa menandatanganinya. Surat itu ditujukan kepada Menteri Pendidikan Malaysia dengan salinan kepada Ketua Pengarah Pelajaran yang mendesak kerajaan supaya membatalkan rancangan untuk melantik rakyat Malaysia sebagai Guru Besar MCKK.

SERULING ANTI CHINA

Haji Shuhaimi telah meramalkan jika seorang rakyat Malaysia yang akan dilantik sudah pasti ianya Cikgu Cheah Tan Huat yang berita kematiannya telah saya baca dalam kumpulan WhatsApp NAGA semasa menulis bahagian ini.

Dalam pidatonya Hj. Shuhaimi menakut dan membimbangkan pelajar-pelajar kerana sebagai seorang berbangsa China, kami diyakinkan, Cikgu Cheah Tat Huat tentunya tidak akan bersungguh-sunggu mengajar pelajar-pelajar Melayu di MCKK. Inilah kali pertama saya mendengar seruan anti China sementara pada waktu itu saya belum kenal Cikgu Cheah Tan Huat sebagai guru mathematic. Guru mathematic kami di waktu itu ialah Cikgu Mohd Nor, seorang guru yang agak garang orangnya.

Oleh kerana ucapan Haji Shuhaimi begitu bersemangat maka dewan telah bergema dengan jeritan untuk mengekalkan Mr. Ryan, atau seorang orang putih lain sebagai Guru Besar.

TAKUT HILANG RM20.00 SEBULAN

Saya paling takut mendengar Cikgu lain, tidak semestinya berbangsa China, yang akan mengganti Mr. Ryan sebagai Guru Besar kerana saya bimbang semua persetujuan yang dijanjikan oleh Mr. Ryan kepada saya sudah tentu akan terbatal kerana saya berpendapat bahawa jika Cikgu Cheah Tan Huat betul sebagai yang dikatakan oleh Haji Shuhaimi sudah tentu saya, sebagai seorang yang tidak pun dianggap Melayu, kerana bapa saya bukan rakyat Malaya, akan menjadi antara yang pertama terpaksa keluar dari MCKK.

Saya menyokong saranan Haji Shuhaimi untuk mengekalkan Mr. Ryan kerana takut kehilangan FIRST GRADE SCHOLARSHIP atau RM20.00 tiap-tiap bulan dan bukan kerana saya ada apa-apa perasaan anti-China dalam diri saya.

MEMPERBANYAKKAN SURAT RAYUAN

Haji Shuhaimi di akhir ucapannya telah bertanya jika ada antara pelajar yang hadir yang mengetahui cara untuk memperbanyakkan surat siaran untuk ibu-bapa. Saya telah mengangkat tangan untuk membantu. Saya memberi kesanggupan untuk membantu kerana saya tengok Encik Rahman pembantu pejabat sedang memperbanyakkan nota dengan mesin cyclo-style di waktu saya sedang ditemuduga oleh Encik Suffian.

Haji Shuhaimi telah menyerah kepada saya sekeping kertas stensil yang di atasnya sudah ditaipkan isi seruan untuk mempertahankan Guru Besar yang sedia ada untuk tidak diganti dengan Guru Besar dari kalangan rakyat Malaysia sendiri.

AKAN DIPERTAHANKAN HINGGA KE TITISAN DARAH AKHIR HAYAT

Saya memberitahu kepada Haji Shuhaimi cara saya akan mengsaiklostail stensil surat siaran itu dan terus bertanya, ‘Jika saya ditangkap kerana membuat kerja itu, bagaimana?.

Haji Shuhaimi menjawab, ‘Kita akan membela awak sehingga ke titisan darah yang terakhir.’ Saya gembira mendengar jaminan ini.

BANG RAHMAN MEMBANTU SAYA

Selesai menghadiri perjumpaan untuk mendengar ucapan Haji Shuhaimi saya pun terus pergi ke pejabat MCKK untuk berjumpa Bang Rahman, pembantu pejabat di waktu itu. Saya beritahu Bang Rahman bahawa saya perlu mengguna mesin cyclo-style untuk memperbanyakkan salinan nota pelajaran untuk kawan-kawan sedarjah.

Saya terus memberi RM50.00 kepada Bang Rahman untuk tujuan membeli dakwat untuk mesin cyclo-style. Amalan ini saya pelajari di waktu saya membantu memperbanyakkan surat siaran untuk Pak Raden Saleh semasa saya membantunya menjual makjun Puteri Madura. Oleh kerana saya ingin menggunakan mesin cyclo-style selepas waktu pejabat, kira-kira pukul 4.30 petang maka saya minta Bang Rahman membantu saya supaya tidak mengunci dari dalam tingkap terima surat di pejabat supaya saya dapat masuk tanpa diketahui orang lain. Bang Rahman bersetuju.

Sebelum meninggalkan pejabat Bang Rahman telah memastikan cakok bagi pintu tingkap tempat pelajar menerima surat itu telah tidak terkunci tingkapnya kerana Bang Rahman telah meletakkan sekeping kertas yang menutup lubang tempat masuknya kunci jika tingkap itu mahu ditutup rapi.

Pada pukul 4.30 petang, di waktu semua pelajar berada dengan aktiviti masing-masing di padang depan bangunan asrama, saya telah meletak kerusi untuk saya naik dan memasuki tingkap yang terbuka di mana pelajar-pelajar selalu mengambil surat atau apa-apa kiriman dari ibu bapa. Saya masuk ke dalam bilik dengan memakai sandal Jepun. Apabila berada di dalam saya tutup tingkap saloran saya masuk dan terus memasang stensil pada mesin cyclo-style dan terus mencetak 500 helai surat sebagaimana yang dikehendaki oleh Haji Shuhaimi.

Selesai saya perbanyakkan surat petisyen kepada Menteri Pendidikan saya pun keluar melalui lubang yang saya masuk tadi. Dalam kesibukan saya tertinggal sebelah sandal Jepun di dalam setelah pintu lubang telah saya jatuhkan dan cakok yang di atas telah termasuk ke dalam lubang di lantai muka pintu sehingga tingkap itu tertutup rapat dan tidak boleh dibuka lagi.

SANDAL SAYA MENJADI BUKTI

Sebagaimana biasa, pada hari Juma’at berikutnya, Mr. Ryan sendiri telah melakukan inspection dormitory di Kolej didampingi oleh seorang guru yang sepatutnya membuat inspection itu. Semua pelajar wajib memastikan susunan kasut dan sandal yang rapi, tilam dan kelambu cukup bersih dan peti simpanan barang-barang juga terbuka untuk guru ‘on duty’ sehingga dapat melihat keadaan di dalamnya.

Inspection bermula sekitar pukul 7.30 pagi dan kira-kira pukul 8.00 sampailah Mr. Ryan ke dormitori kami, diikuti oleh seorang guru lain. Bila sampai ke katil saya Mr. Ryan melihat pada barisan kasut saya dan bertanya, ‘Where is your pair of slippers.’

Saya beritahu ianya kecurian. Lantas Mr. Ryan mengeluarkan sebelah sandal yang tertinggal dalam bilik pejabat waktu saya men-cyclo-style kertas protes atas rancangan penukaran Guru Besar. ‘Where is the left slipper?’ Saya pun keluarkan sandal yang sebelah lagi dari belakang almari yang dikhaskan untuk saya. Pelajar-pelajar semuanya tercengang melihat perkara yang berlaku. Lepas itu guru yang mengiringi Mr. Ryan telah meneruskan inspection ke dormitori-dormitori lain kerana Mr. Ryan hanya turut membuat inspection untuk mencari pemilik sandal yang sebelah itu.

Mr. Ryan terus mengarah, ‘Come to my office on Monday morning.’ (Datang ke bilik saya pada hari Isnin).

‘Yes Sir.’ (Baik tuan)

HARI ISNIN

Pada hari Isnin berikutnya, sebagaimanan yang diminta oleh Mr. Ryan saya pagi-pagi lagi sudah menunggu di luar pintu pejabatnya. Saya agak gementar kerana takut dihentikan persekolahan saya di MCKK.

Saya lihat wajah Mr. Ryan begitu serius dan beliau tidak pun menjawab bila saya ucapkan, ‘Good Morning Sir,’ (Selamat Pagi Tuan). Setelah beliau menduduki kerusinya Mr. Ryan memandang wajah saya dan berkata, ‘I don’t like what I have to do … but we must have discipline in life … remember that.’ (Saya tidak suka apa yang telah saya buat … tetapi kita perlu ada disiplin dalam hidup .. ingatlah itu).

‘Sorry Sir … thank you for your advise.’ (Maaf tuan … terima kasih atas nasihat tuan).

DIALOG SEBELUM DI ROTAN

Mr. Ryan bertanya, ‘Why was one of your slippers left in the college’s office?’ (Kenapa sebelah dari sandal kamu tertinggal dalam pejabat kolej?)

Saya menjawab, ‘I went into the office to cyclo-style the appeal letters to the Minister of Education not to change a head-master of the college from a British to a local ….’ (Saya masuk ke dalam pejabat untuk memperbanyakkan surat rayuan kepada Menteri Pelajaran supaya tidak menukar guru besar British yang guru tempatan …)

‘Why you, of all the students?’ (Kenapa kamu yang dipilih dari antara pelajar yang ramai?) Mr. Ryan bertanya.

Saya menjawab, ‘I saw no other student volunteered, so I volunteered to do it as I know how to do it ……. and I don’t want you to live the college’ (Saya tengok tiada pelajar yang sanggup, jadi saya beri kesanggupan kerana saya tahu bagaimana mengerjakannya …. dan saya tidak ingin kamu meninggalkan kolej.’

‘Why should I not leave the college?’ (Kenapa aku tak boleh meninggalkan kolej ini?) Mr. Ryan bertanya.

‘You helped me enter the college Sir….’ (Tuan membantu saya dapat masuk ke kolej ini …).

‘It’s not your business as to who should be the head-master here?’ (Bukan tugas kamu menentukan siapa jadi guru besar di sini.)

‘You have committed an offence for breaking into the office after office hours …. bend down here’ (Kamu bersalah  kerana mencerobohi masuk bilik pejabat selepas waktu kerja ……. bongkok di sini).

Saya diminta oleh Mr. Ryan untuk membongkok atas dua tangan dan terus dirotan 6 kali.

SEBAB SAYA DI ROTAN

Saya menjelaskan kepada Mr. Ryan bahawa saya menyanggupi untuk memperbanyakkan surat rayuan kerana saya tidak mahu beliau ditukar keluar dari MCKK. Beliau menyatakan itu bukan tugas saya. Sebaliknya saya dirotan kerana mencerobohi bilik pejabat di luar waktu kerja.

PENGAJARAN DARI PENGALAMAN PAHIT

Bila saya beritahu kepada beberapa orang yang meminta saya memperbanyakkan kertas rayuan, tidak seorang pun membela atau menyebelahi saya, sebaliknya ada yang berkata saya bodoh sanggup membuat kerja yang disuruh.

Kerana pengalaman inilah maka dalam pertandingan, antara dua murid tua MCKK, untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia iaitu antara Haji Shuhaimi Kamaruddin dan Anwar Ibrahim, pada tahun 1982, saya telah menyokong Sdr. Anwar Ibrahim. Faktor ini menggambarkan betapa hebat kesan kesakitan ke atas anak belasan tahun apabila dirotan sebanyak 6 kali oleh guru besar. Kedua mereka adalah sahabat saya.

BERSAMBUNG…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here