[BM] Titah DYTM Raja Nazrin Shah sempena Hari Ucapan & Penyampaian Hadiah MCKK 2008

0
1659

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam Sejahtera

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam yang menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda seterusnya kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta sekali lagi dapat berangkat ke Majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah, The Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

3. The Malay College Kuala Kangsar atau MCKK adalah institusi pendidikan yang akar sejarah penubuhannya berkait rapat dengan istana. MCKK ditubuhkan hasil gema suara dari istana. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berperanan sebagai penggerak utama kepada penubuhan Kolej ini. MCKK adalah produk, hasil cetusan Raja-Raja Melayu kerana Duli-Duli Yang Maha Mulia itu amat prihatin akan pentingnya anak-anak Melayu diperlengkap dengan pendidikan berkualiti tinggi. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu insaf betapa pentingnya anak-anak Melayu yang merupakan peribumi di Tanah Melayu ini dibekalkan dengan ilmu – diperlengkap dengan pengetahuan. Sesungguhnya, 100 tahun yang lalu, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu telah memiliki wawasan jauh dan pemikiran radikal untuk mempersiapkan bangsanya berupaya menghadapi cabaran dunia di hari muka. Lalu MCKK ditubuhkan dalam tahun 1905 di Bandar DiRaja Kuala Kangsar.

4. Setelah mencapai usia 100 tahun penubuhannya, dengan kehendak ILAHI juga, Beta telah diberikan amanah memenuhi tanggung jawab sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola MCKK. Dengan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, MCKK telah dimasyhurkan sebagai sebuah Institusi Warisan Bangsa dan Negara. MCKK perlu senantiasa disuntik dengan nafas baru agar kekal dihormati sebagai institusi pendidikan menengah yang terunggul di negara ini. Beta insaf betapa pentingnya kualiti – betapa mustahaknya taraf pendidikan di Kolej ini ditingkatkan bertaraf dunia, agar tradisi melahirkan barisan pemimpin yang berwibawa dapat diteruskan; agar keupayaan menghasilkan wira bangsa yang hebat berpencak di gelanggang dunia dapat dilaksanakan. Atas keinsafan itu, pada tahun 2005, Beta telah menyuarakan kesediaan Lembaga Pengelola untuk melaksanakan program International Baccalaurate (IB) di Kolej ini. Suara tersebut telah mendapat sokongan padu dari Malay College Old Boys Association (MCOBA). Alhamdulillah, niat murni dan hasrat baik tersebut telah diberikan persetujuan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

5. Berasaskan akar sejarah penubuhannya, identiti MCKK dari segi bentuk – dari segi tenaga pengajar – dari segi kurikulum – dari segi kokurikulum haruslah mempunyai keunikan. Negara haruslah melihat kedudukan MCKK dari kaca mata penilaian yang berbeza dan tidak wajar disamakan dengan institusi-institusi pendidikan yang lain. Beta amat menghargai peranan MCOBA dan bekas-bekas pelajar MCKK yang senantiasa memberikan komitmen, membantu usaha-usaha untuk membangun dan memajukan MCKK. Yang Amat Berbahagia Tun Mohammed Hanif Omar bersama Tuan Haji Khalilur Rahman serta disokong oleh beberapa bekas pelajar MCKK kini sedang melakukan inisiatif untuk menubuhkan The MCKK FOUNDATION; sebuah yayasan untuk membantu usaha-usaha membangunkan MCKK supaya terus kekal sebagai sebuah kolej pengajian terbilang tanpa terlalu bergantung pada sumber kewangan kerajaan. Beta disembah maklumkan bahawa beberapa institusi, badan-badan perniagaan dan juga tokoh-tokoh dari kalangan bekas pelajar telah memberikan komitmen untuk membantu menjayakan hasrat yayasan ini dengan sasaran permulaan tabung bernilai sepuluh juta ringgit.

6. Lembaga Pengelola bersama MCOBA juga sedang berusaha mencari sumber kewangan untuk menambah kepada peruntukan asas yang telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan bagi pembinaan dewan baru. Peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan hanya cukup untuk membina sebuah dewan biasa. Selaras dengan semangat mahukan MCKK memiliki identiti sebuah institusi pendidikan yang unggul, kata sepakat telah dicapai supaya dewan baru yang akan dibina, memiliki reka bentuk, nilai-nilai estetika, fungsi dan kemudahan yang dapat memberi kebanggaan kepada warga MCKK; di samping dewan baru tersebut dapat menyediakan kemudahan untuk membantu proses mengasah perkembangan bakat dan proses mengasuh pertumbuhan potensi pelajar. Beta amat menghargai sokongan yang diberikan secara fikiran, kepakaran, tenaga dan komitmen kewangan dari bekas-bekas pelajar untuk merealisasikan usaha ini.

7. Setiap langkah baru yang dirintis, adalah kesinambungan usaha bagi memenuhi aspirasi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang begitu prihatin terhadap kualiti pendidikan anak bangsanya yang telah dizahirkan sejak lebih seratus tahun dahulu. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu ketika itu amat menyedari betapa pentingnya anak bangsa pewaris bumi, diperkukuh dengan iman – diperlengkap dengan pengetahuan, supaya bangsa Melayu itu di hari muka, tidak menerima nasib malang, bagaikan ayam kelaparan di kepuk – bagaikan itik kehausan di air. Betapa malangnya bangsa jika menerima nasib bagaikan dagang di kampung sendiri, jika terpaksa bermusafir di bumi sendiri. Kerana itu, bangsa perlulah kuat dari segala aspek, supaya terus gagah – terus perkasa, berhati cekal – bersemangat waja; berupaya mendaki gunung yang tinggi, bertenaga menyeberangi laut yang dalam.

8. Untuk merealisasikan wawasan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu itu, dan untuk memastikan impian bangsa menjadi nyata, warga MCKK wajib memelihara etos kecemerlangan. Warga MCKK hendaklah terus mempertahankan tradisi kegemilangan. Dan anak bangsa yang telah berjaya, janganlah berperangai si Tenggang, terlalu cepat bersifat angkuh – terlalu mudah berlagak bongkak, hingga melupakan asal keturunan – hingga memisahkan diri dari akar bangsanya, menjadi rakus – menjadi gopoh, hingga tergamak menebang pohon tempat bernaung – mencantas dahan tempat bergantung. Kejayaan anak bangsa di hari ini adalah atas pengorbanan – atas keringat – atas kesusahan – atas usaha generasi terdahulu. Bangsa yang dapat meneruskan kelangsungan – bangsa yang tamadunnya kekal agung, adalah bangsa yang tidak memutuskan diri dengan akar sejarah malah senantiasa menghargai pengorbanan generasi terdahulu.

9. MCKK adalah tempat terkumpulnya anak bangsa yang terpilih dari kalangan yang paling cerdas berasaskan prestasi pencapaian akademik. Di sinilah cerdik pandai Melayu mula dikampungkan dari usia yang begitu muda. Di sinilah asuhan – di sinilah bimbingan dilakukan dalam usaha membina modal insan untuk meneruskan kelangsungan bangsa di bumi warisan turun temurun. Permata-permata bangsa ini diserahkan untuk digarap – untuk dicanai oleh barisan para pendidik. Garap dan canailah permata-permata bangsa ini supaya dapat menyinar cahaya kepada bangsanya – kepada negaranya. Bisikkan kepada mereka akan petua orang-orang tua, bahawa kiambang adalah kiambang, biduk berlalu bertautlah ia, pesankan kepada mereka jangan terlalu cepat bermusuh dengan kawan dan jangan terlalu ghairah bersahabat dengan musuh kerana sejak zaman dahulu lagi terlalu banyak musang yang berbulu ayam, terlalu banyak sokong yang membawa rebah. Ingatkanlah mereka akan sejarah bangsanya bernegara berlandaskan adat rakyat bersultan – negeri beraja.

10. Beta menzahirkan ucap tahniah kepada para pelajar yang telah mencapai tahap hingga melayakkan mereka menerima penganugerahan pada pagi ini. Bersyukurlah atas kejayaan ini dan perlihatkanlah sifat bersyukur itu dengan memberikan penghargaan sewajarnya kepada mereka yang telah banyak berjasa membantu kejayaan saudara-saudara, terutama sekali ibu-bapa dan para guru. Perlihatkan sifat kesyukuran itu nanti dengan kembali untuk membantu MCKK menjadi lebih terbilang. Buktikan tanda kesyukuran itu dengan memberikan pembelaan kepada bangsa dan nusa. Insaflah bahawa kejayaan itu adalah kurniaan ILAHI, bersyukurlah kepada ILAHI, jadilah anak yang soleh, jadilah warga yang setia kepada Raja dan negaranya, jadilah Muslim yang bertakwa.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

****************

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here